Seramai 10 jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia ketika mengerjakan ibadat haji musim ini. Menurt Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, kesemua jemaah yang meninggal dunia itu disebabkan sakit jantung, jangkitan dan radang paru-paru. Kesemua jenazah yang meninggal dunia akan dikebumikan di Mekah.

Mujahid berkata, pihaknya sentiasa mengekori rapat perkembangan terkini di Mekah, Madinah dan lokasi yang lain. Dalam perkembangan lain pula, Mujahid berkata walaupun keadaan di Mina dilanda hujan lebat dan berlaku banjir namun pihak Tabung Haji memaklumkan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“Isu macam hujan lebat tu (hingga menyebabkan) karpet basah di Mina tu perkara biasa, tapi mereka segera dapat selesaikan dengan ganti karpet baharu. Perjalanan mereka semasa hujan lebat dan banjir tu tak menyebabkan apa-apa kemalangan pun pada jemaah haji kita. Semua selamat. Tak ada isu,” ujarnya.

Beliau berkata pihaknya juga sentiasa mengingatkan para jemaah untuk mengambil ubat dan menerima rawatan sekiranya tidak sihat. Jelasnya, kumpulan jemaah pertama akan kembali ke tanah air pada 19 Ogos ini. Dimaklumkan, pada tahun lalu, seramai 42 jemaah dilaporkan meninggal ketika mengerjakan ibadah tersebut.

Sumber: Awani