Seorang lelaki berketurunan Tionghua bersyukur diberi hidayah untuk kembali kepada fitrah semasa hidupnya mempunyai banyak masalah seperti kegiatan gengsterisme, hutang dan rumah tangga.

Chee Yin Wei, 38 tahun, dari Taman Derga Jaya, Alor Setar, Kedah, begitu bersyukur kerana dipilih oleh Allah SWT untuk memeluk Islam dan kini hidupnya berasa semakin tenang.

Sebelum ini, dia tidak pernah terlintas di fikiran untuk memeluk Islam namun pertemuan dengan seorang rakan dikenali sebagai Adam di perkarangan sebuah masjid untuk menceritakan masalah hidupnya mengubah segalanya.

“Namun lain jadinya, apabila sampai di situ, saya diajak Adam untuk solat, saya bertanya kepada Adam adakah saya boleh solat sedangkan saya bukan Muslim, Adam kata boleh lalu mengajar saya berwuduk dan menunaikan solat Asar, ketika itu,” ujarnya.

“Saya hanya mengikut sahaja pergerakan solat sehinggalah selesai dan ternyata setiap sujud itu memberi ketenangan kepada saya, sejak itulah saya sering memandang ke langit seperti mencari sesuatu,” jelasnya.

“Akhirnya saya sedar, apa yang perlu saya cari adalah Tuhan yang mencipta kita, dari situ saya berhasrat memeluk Islam dan pergi ke masjid untuk mencari imam, tapi sayangnya empat buah masjid yang saya pergi, tidak ada imam pada waktu itu,” katanya.

Menurutnya, dia telah mengucap dua kalimah syahadah pada 7 Ogos tahun lalu di depan imam dan ahli jawatankuasa Masjid Jalan Pegawai, Alor Setar, semasa mencari masjid yang mempunyai imam pada masa itu.

“Ketenangan yang saya perolehi tidak dapat digambarkan dengan kata, walaupun pada mulanya ibu saya tidak dapat menerima saya sudah memeluk Islam, namun kini dialah insan yang menghantar saya menunaikan solat Jumaat di masjid,” tambahnya.

“Kehidupan saya sebelum ini ternyata hanya nampak hebat di sisi manusia tapi ia sebenarnya tidak menenangkan jiwa… jiwa yang tenang adalah dengan mengingati Allah,” sambungnya.

“Agama Islam adalah agama yang sempurna, mengajar manusia dengan penuh adab dan ilmu dalam setiap perbuatan walaupun hendak masuk tandas dan menukar pakaian,” ujarnya.

“Saya dahulu sudah tiga kali dipenjarakan, selepas peluk Islam saya tinggalkan dunia gengsterisme, walaupun hidup saya kini susah tapi saya tetap bersyukur kerana berada di landasan dengan agama Allah,” katanya lagi.

Kini, Chee atau nama Islamnya Abdul Rahman Abdullah, walaupun ada kalanya terpaksa mengikat perut dengan hanya makan mi segera, namun ia tetap menganggap itu rezeki dari Allah.

Difahamkan, dia merupakan seorang bekas chef di Singapura sebelum ini dan sekarang mengambil upah memasak walaupun tidak selalu mendapat tempahan memasak.

Semoga Abdul Rahman dilimpahi rezeki selepas niat ikhlasnya memeluk Islam serta sentiasa istiqomah hendaknya.

Sumber: Harian Metro