Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Wassini, Waheeda atau nama penuh Norwahidah Abdul Wahab, 41 tahun, berkata dia tidak merindui zaman popularnya dulu malah bahagia dengan kehidupan sekarang.

“Saya tidak pernah merindui zaman popular dan bahagia dengan kehidupan sekarang. Saya ada matlamat hidup yang perlu diperjuangkan,” ujarnya.

Malah, dia juga menolak tanggapan beberapa pihak yang mengatakan dirinya menghilangkan diri selepas berkahwin dengan penceramah bebas, Akhil Hayy Rawa.

Menurutnya, selepas berkahwin pada tahun 2009, dia menghasilkan lagu dengan berada di belakang tabir.

“Sepanjang 10 tahun ini, saya sudah menghasilkan 50 lagu untuk penyanyi baharu. Saya masih aktif, tetapi kehidupan sekarang bukan seperti dahulu,” katanya.

Kini, semua hasil seninya berbentuk nasihat, kerohanian, kritis dan berilmiah yang bertujuan mendidik masyarakat.

“Lagu yang dihasilkan ini bukan untuk popular sebaliknya bertujuan mengubah minda pendengar. Dalam industri hiburan, sampai bila kita perlu berada di takuk itu,” jelasnya.

Difahamkan, dia yang bergerak menerusi produksinya, Clef, akan mengeluarkan single terbaru berjudul Ighfir Zunubi nyanyian suaminya dan Mawi.

“Selepas berkahwin, saya terfikir mahu menghentikan aktiviti seni tetapi ia percaturan Allah. Mungkin hasil karya ini boleh memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Ditanya mengenai kehidupan rumahtangganya, Waheeda mengakui bahagia kerana Akhil bukan saja seorang suami tetapi teman baik.

“Selain menjadi isteri, saya juga membesarkan dua anak suami(bersama Maizawati) dan mendalami ilmu agama. Buat artis baru janganlah terlalu mengejar populariti kerana ia datang dan pergi,” katanya.

Sumber: Harian Metro