Semalam, Mahkamah Rendah Syariah Klang memutuskan lafaz talak kes penceraian antara seorang bekas peserta Pencetus Ummah (PU), Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 25 tahun, terhadap isterinya, Ain ‘Afini Latif, 23 tahun, melalui aplikasi WhatsApp adalah tidak sah.

“Saya masih sayangkan isteri dan mahu hidup bersamanya selain turut bertanggungjawab ke atas anak dalam perutnya,” ujar PU Abu.

“Saya juga mengakui kesilapan diri kerana meninggalkan isteri dan memohon maaf atas perbuatan saya terhadapnya selama ini,” jelasnya.

Difahamkan, Hakim Syarie Mohd Nurulazhar Tohar membuat keputusan bahawa penceraian PU Abu dengan Ain ‘Afini tidak sah selepas menerima pengakuan bersumpah PU Abu yang menyatakan dia tidak berniat untuk bercerai ketika menghantar pesanan mesej berkenaan pada 13 Mac lepas.

Bekas peserta Pencetus Ummah itu memberitahu mahkamah dia sejujurnya tiada mempunyai niat secara total untuk bercerai dan faktor keadaan memaksanya berbuat demikian.

“Saya menaip (mesej WhatsApp) sambil membacanya dalam hati namun tidak melafazkannya. Ia rentetan daripada kronologi yang panjang dan tiada lafaz lain dibuat selain daripada itu,” katanya.

“Saya tidak pernah langsung berniat untuk menceraikan isteri saya dan sanggup bersumpah tiada niat berkenaan,” sambungnya.

Sebelum ini, Ain ‘Afini yang berpurdah dan sarat mengandung memberitahu pihak mahkamah bahawa mereka telah berselisihan faham dan bercerai talak satu dengan kebenaran mahkamah pada 28 Januari lalu.

“Pada jam 11.44 pagi 13 Mac lalu, lafaz cerai diterima menerusi pesanan WhatsApp daripada suami yang meninggalkan saya di rumah selama seminggu,” ujar Ain Afini.

“Saya turut menerima mesej daripada dia yang meminta supaya memudahkan semuanya dan mengisi borang perceraian,” katanya.

Dalam prosiding sama, Mohd Nurulazhar turut memerintahkan pasangan itu mendaftar lafaz rujuk cerai mereka pada 23 Februari lalu selepas mendapati lafaz berkenaan sah.

Selain itu, hakim itu dalam penghakimannya menegur Muhammad Abu Sufyan supaya menjalankan tanggungjawab sebagai suami iaitu menjaga isteri dan anak dalam kandungan wanita itu.

“Jangan bersikap ‘lepas tangan’ dan semua hal seharusnya diselesaikan dengan baik,” tambahnya.

Ain ‘Afini yang dijangka melahirkan bayinya pada 10 Julai depan itu kelihatan menangis teresak-esak selepas prosiding selesai sambil ditenangkan oleh beberapa ahli keluarganya.

Sumber: Harian Metro