Isteri kepada mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41 tahun, yang maut akibat dilanggar sebuah kereta di bawah pengaruh alkohol di Jalan Pintasan Kuantan, pada malam kelmarin berharap suspek pemandu kereta itu menerima hukuman setimpal.

Menurut isteri allahyarham, Zetti Haryanti Hassan, 42 tahun, hukuman itu diharap dapat memberi pengajaran kepada individu lain untuk tidak melakukan kesalahan yang sama hingga menyebabkan keluarga terpaksa kehilangan orang tersayang dan tulang belakang seperti dialaminya.

“Saya dan anak berharap arwah suami akan memperoleh keadilan. Arwah adalah anak, suami dan bapa yang baik serta bertanggungjawab malah kejadian berlaku semasa arwah dalam perjalanan mencari rezeki untuk keluarga,” ujarnya.

“Saya teringat betapa arwah bersungguh-sungguh mahu membeli rumah semasa kami berkahwin pada 2011 untuk memastikan kami mempunyai tempat berteduh yang sempurna,” katanya.

Semasa kejadian, suaminya maut selepas Toyota Yaris dipandunya dirempuh kereta Toyota C-HR yang dipandu oleh seorang peraih ikan berusia 42 tahun secara melawan arus dalam keadaan mabuk pada kejadian puku; 9.20 malam kelmarin.

Difahamkan, allahyarham merupakan seorang penyelia di Alam Flora Sdn Bhd sejak tahun 2016 dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Isap Perdana untuk ke tempat kerja di Gebeng.

Setiap bulan, allahyarham bekerja pada waktu malam mengikut jadual dan antara tugasan yang perlu dilakukan ialah ke depoh syarikat di Gebeng.

“Arwah seperti biasa sebelum bertolak ke tempat kerja. Arwah juga ceria semasa kami menyambut Aidilfitri di rumah ibu bapanya di Taman Guru di sini, walaupun arwah bekerja pada sebelah pagi,” jelasnya.

“Cuma, sejak beberapa hari lalu, arwah akan terus tidur sebaik sahaja pulang dari tempat kerja dan saya beranggapan mungkin arwah keletihan,” sambungnya.

Walau bagaimanapun, dia akan menjaga dua anaknya berusia lapan dan 14 tahun termasuk seorang daripada perkahwinan terdahulu allahyarham dengan pendapatannya sebagai seorang peniaga.

Sumber: Bernama & Harian Metro