Pemain bola sepak antarabangsa Jerman, Mesut Ozil, 29 tahun, membuat keputusan untuk bersara daripada pasukan antarabangsa itu setelah merasakan dirinya dijadikan propaganda politik serta tidak lagi berasa bangga menyarung jersi Jerman.

Dia dikritik hebat apabila skuad negara itu tersingkir awal iaitu pada pusingan pertama Piala Dunia yang baru saja melabuhkan tirai kira-kira dua minggu lepas.

Selain itu, pemain kelab Arsenal itu dikecam selepas bergambar dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang menjadi kontroversi selepas itu.

“Layanan yang diterima DFB (Persatuan Bola Sepak Jerman) dan banyak pihak membuatkan saya tidak lagi mahu menyarung jersi negara,” katanya sambil merasakan dirinya tidak diperlukan lagi serta pencapaiannya bersama skuad negara itu telah dilupakan.

Menurutnya, dia tidak lagi berasa bangga apabila memakai jersi Jerman dan tidak mahu bermain bersama pasukan Jerman di peringkat kebangsaan kerana ia penuh dengan sikap rasis dan tidak hormat.

“Ini bukan sebab kenapa saya bermain bola sepak, dan saya tidak akan duduk diam serta tidak berbuat apa-apa. Rasis sepatutnya langsung tidak boleh diterima. Saya Jerman apabila menang, tetapi apabila kalah saya adalah pendatang,” jelasnya.

Sumber: mStar