Bermula sebagai artis hip hop duo sehingga mencipta nama di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL), Altimet yakin keputusan berhenti menyanyi pada usia 40 tahun adalah langkah terbaik. Setelah beberapa tahun bergelumang dalam dunia seni, Altimet puas dengan apa yang dikecapi.

“Sebenarnya, selepas saya buat keputusan berhenti menyanyi, saya berjanji dengan diri sendiri untuk belajar mengaji al-Quran. Saya sekarang lebih cenderung kepada benda-benda positif bagi memotivasikan diri. Apabila disebut berhijrah, artis lelaki orang tak nampak sangat sebab penampilan dan gaya yang sama.

“Saya berubah kerana kematangan usia… Sebab itulah saya ambil keputusan untuk lebih mendekatkan diri dengan agama,” katanya kepada BH Online.

Gambar: CARI

Altimet juga berkata bahawa dia sedang mengusahakan perniagaan berasaskan aplikasi mengaji al-Quran dikenali sebagai Recite. Menurutnya, produk terbabit diperkenalkan seorang sahabat yang turut membentangkan peluang pelaburan terbaik.

“Tawaran untuk melabur dalam perniagaan ini sudah lama diterima, cuma ketika itu, saya tidak ada modal. Alhamdulillah, aplikasi ini sudah dilancarkan di Malaysia awal tahun ini. Ia juga sudah memasuki pasaran Indonesia, Julai lalu. Sambutan diterima sangat baik dan sudah ada permintaan dari United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Aplikasi itu dibangunkan dengan kerjasama ustaz dan ustazah bertauliah yang bertindak sebagai pengajar dan juga telah mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tambah Altimet. Beliau juga merancang untuk meningkatkan produk terbabit dengan mengambil tenaga pengajar yang mampu bertutur dalam pelbagai bahasa.

“Harapan saya kalau aplikasi ini berjaya dan diterima di seluruh dunia, saya sudah boleh bersara sepenuhnya dengan selesa. Ada berpuluh ustaz dan ustazah terlatih yang akan mengajar bacaan pengguna. Buat masa sekarang, kita cuma ada versi Bahasa Malaysia.

“Saya terima tawaran ini sebab saya nampak peluang menjana pendapatan. Bukan saja dapat ilmu dan pahala, sebaliknya kita dapat membantu tenaga pengajar ini menambah pendapatan mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian