Doa dan sokongan daripada ahli keluarga terutama ibu bapa merupakan pembakar semangat untuk kita menempuh peperiksaan penting di sekolah.

Walau bagaimanapun, seorang anak yatim piatu dari Sekolah Kebangsaan Telaga Mas, Alor Setar, Kedah, tidak berkesempatan untuk mendapat semua itu kerana kedua ibu bapanya telah meninggal dunia akibat kanser tiga tahun lalu.

Mohd Danish Amani Anuar, 12 tahun, memberitahu dia membuat ulangkaji pelajaran tiga jam sehari sebagai persediaan menjawab Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula hari ini.

“Sekarang ini saya tinggal bersama ibu saudara saya. Selepas pemergian ibu dan ayah saya, saya hanya mampu bertawakal bagi menghadapi UPSR ini,” ujar anak sulung daripada dua beradik itu.

“Ibu saudara saya sentiasa memberi semangat kepada saya untuk mendapat 6A dalam ujian ini sebagai hadiah kepada ibu dan ayah saya yang telah meninggal dunia,” katanya.

Danish sentiasa mengingati pesan arwah ibu bapanya agar belajar bersungguh-sungguh dan menghormati guru di sekolah.

Setiap minggu, dia akan ‘melawat’ pusara ibu bapanya dan telah ‘berjumpa’ ibunya pada Jumaat lalu untuk berdoa dan memberitahu dia akan menduduki UPSR.

Walaupun ditakdirkan hidup serba kekurangan, Danish tetap bersemangat untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang doktor satu hari nanti.

Sumber: Astro Awani