Baru-baru ini, umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri di seluruh dunia bersama keluarga tersayang.

Masih lagi dalam ‘mood’ raya, sebuah keluarga menetap di Kapar, Klang, tular di media sosial kerana mereka pulang ke kampung untuk berhari raya dengan menaiki basikal ke Sabak Bernam, minggu lalu.

“Selain menerapkan budaya hidup sihat dengan berbasikal, niat kami bertujuan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan ukhuwah bersama pengguna jalan raya lain,” ujar Abdul Rahim Mahmudin, 55 tahun.

Difahamkan, Rahim sekeluarga mengayuh basikal sejauh lebih 100 kilometer (km) dari Kapar sehingga ke Sabak Bernam.

Menurutnya, idea itu tercetus selepas melihat budaya rakyat Indonesia dikenali sebagai mudik lebaran iaitu berbasikal pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman mereka.

“Saya kemudian berbincang dengan isteri, Norazridza Ahmad Zahri, 40 tahun, dan dia bersetuju balik kampung dengan mengayuh basikal,” tambahnya.

“Alhamdulillah, perjalanan kami selama 12 jam bermula pukul lapan pagi bersama dua anak perempuan berusia 14 dan 12 tahun serta seorang rakan pada hari raya kedua (Khamis lepas) berjalan lancar,” katanya.

“Perjalanan pulang semula dari Sepintas, Sabak Bernam ke Kapar pada Sabtu minggu lalu juga lancar dan kami lebih kepada kayuhan secara santai dengan berhenti di setiap daerah,” jelasnya.

Malah, dia turut menyedari terdapat segelintir warga laman sosial menyelar tindakannya yang dikatakan menyebabkan kesesakan jalan raya.

“Namun, kami hanya berniat baik iaitu turut mahu menerapkan kesedaran mengenai pengurangan penggunaan kenderaan lain termasuk ketika mahu pulang beraya,” katanya.

“Selain itu, kami sudah melakukan persiapan rapi sebelum memulakan perjalanan terutama pemeriksaan tayar dan alat ganti basikal bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” tambahnya.

“Kami mengutamakan faktor keselamatan sepanjang perjalanan dan hanya mengayuh di jalan biasa, bukannya di lebuh raya. Apa yang penting adalah disiplin dan jati diri pengayuh basikal itu supaya mematuhi peraturan jalan raya serta keselamatan mereka,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro