Sate biasanya dijual berwarna kuning kerana diperap dengan bahan-bahan istimewa tetapi pernahkah anda terfikir sate yang dihidangkan berwarna-warni?

Mungkin ia kedengaran agak pelik tetapi sambutan yang diterima oleh pengusahanya, Muhammad Zulhanif Hazman, 22 tahun, amat menggalakkan.

“Alhamdulillah, sate ini yang terdiri daripada warna kuning, biru, merah dan hijau, mendapat permintaan tinggi terutama menjelang hari raya berbanding bulan-bulan biasa tempahan tidak sampai 15,000 cucuk,” ujarnya.

Menurutnya, idea tercetus selepas mendapat nasihat daripada pembimbing program Empower Ecer yang dia pernah sertai.

Tambah pemilik Four Z Brothers Cafe itu, sate warna-warni dihasilkannya itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan dia masih menggunakan ramuan turun-temurun yang diwarisi daripada nenek serta ibunya dalam pembuatan sate tersebut.

“Rasa sate warna-warni ini juga lebih enak dan turut dihidangkan bersama kuah kacang, bawang dan timun, sama seperti sate lain. Apa yang agak berbeza ialah rasanya yang lebih lembut dan menyelerakan,” jelasnya sambil memberitahu sate yang dihasilkannya tidak dicampur dengan kulit ayam.

Difahamkan, Zulhanif menyediakan hampir 60,000 cucuk sate sepanjang sebulan sambutan Aidilfitri berbanding hari biasa yang kurang daripada 30,000 cucuk sebulan.

Sumber: Mynewshub