Jabatan Perkhidmatan Veterinar(JPV) memaklumkan bahawa keputusan ujian semua sampel ‘ayam seekor’ daripada kilang pemprosesan ayam di Pedas, Negeri Sembilan, adalah negatif virus Covid19.

Gambar sekadar hiasan

Menurutnya, sampel ayam dari kilang itu sudah diambil untuk proses ujian pengesanan virus Covid19 melalui kaedah Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction(RT-PCR) berikutan insiden beberapa pekerja di kilang itu dikesan positif Covid19.

Malah, operasi kilang tersebut sudah diarah tutup sementara bermula tujuh Mei lalu sehingga 20 Mei setelah beberapa pekerja kilang itu positif Covid19.

Difahamkan, kilang itu mendapat pensijilan Veterinary Health Mark(VHM) sejak tahun 2008.

Gambar sekadar hiasan

“Pemeriksaan daging ayam sentiasa dijalankan oleh Pegawai Pemeriksa Daging bagi memastikan keselamatan dan kualiti ayam yang diproses di kilang tersebut adalah terjamin,” ujarnya.

Melalui kajian saintifik beberapa agensi dan institusi antarabangsa seperti Universiti Macau dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia(OIE) Paris, membuktikan bahawa haiwan seperti lembu, kambing, babi dan ayam bukan penyebar virus Covid19 kepada manusia.

Gambar sekadar hiasan

Kajian yang diterbitkan dalam beberapa jurnal antarabangsa itu menunjukkan bahawa penyebab kepada penyakit Covid19 oleh virus SARS-Cov-2 adalah daripada kumpulan betakoronavirus manakala, kumpulan gammakoronavirus terdapat pada spesies unggas seperti ayam.

Virus betakoronavirus tidak boleh menjangkiti spesies unggas kerana mempunyai reseptor berbeza.

“JPV menasihatkan masyarakat supaya tidak khuatir untuk memakan daging ayam,” tambahnya.

Sumber: Bernama & Harian Metro