Setelah puas dikutuk oleh warga laman sosial, ramai terkejut apabila mengetahui niat sebenar pengacara Melodi, Janna Nick, 23 tahun, membuat servis ucapan hari jadi di IG Story baru-baru ini.

Rupa-rupanya Janna membuat servis ucapan itu kerana mahu mengumpul dana tabung Wish For Their Hope (WFTH).

“Sudah lama saya impikan untuk tubuhkan sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang bermatlamat mengumpulkan dana untuk mereka yang memerlukan,” ujar Janna atau nama sebenar Nurul Jannah Muner.

Memandangkan dirinya seorang selebriti yang mempunyai ramai pengikut di laman sosial Instagram, dia menggunakan cara tersebut (membuat servis ucapan hari jadi berbayar) untuk mendapatkan sumbangan dan menyalurkannya kepada mereka yang memerlukan.

“Ini baru permulaan kita dan saya memasang impian untuk memperluaskan sumbangan kita seluruh Malaysia,” sambungnya ketika ditemui di majlis sumbangan untuk anak-anak Rumah Kasih Nurul Nasuha di Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Untuk pengetahuan anda, pengacara dan pelakon popular itu berjaya mengumpul lebih RM2,000 hasil membuat servis ucapan hari jadi berbayar tersebut.

“Apabila saya letak RM50 itu baru ada yang sedar nilai tersebut boleh buat macam-macam, mungkin bagi sesetengah orang RM50 itu apalah sangat tapi ia besar kepada orang lain,” jelasnya.

Sumber: mStar