Seorang usahawan berasal dari Vietnam, Tran Minh Tien, 32 tahun, mempromosikan kaedah yang paling mesra alam sekitar untuk menikmati minuman, iaitu dengan menggunakan penyedut minuman yang diperbuat dan diproses daripada rumput.

Menurut Reuters, kaedah itu bukan saja mesra alam, malah penyedut minuman rumput itu boleh digunakan semula serta boleh mereput secara semula jadi.

Difahamkan, syarikat milik Tien, 3T, terletak di sebuah kampung pedalaman di delta Sungai Mekong, barat Bandar Raya Ho Chi Minh, Vietnam.

Lokasi kampung itu berdekatan dengan kawasan paya ditumbuhi rumput tinggi dan liar yang dikenali dengan nama ‘Gray’s Sedge’ (Carex grayi).

Tien bersama pekerjanya akan menuai rumput sebelum dipotong mengikut ukuran tertentu.

Kemudian, ia dibersihkan dan dipanggang menggunakan ketuhar atau dijemur di bawah terik matahari selama dua hingga tiga hari.

Tien memulakan perniagaannya pada tahun 2017, kini syarikatnya mampu menghasilkan kira-kira 3,000 batang penyedut minuman rumput sehari dengan keuntungan sekitar AS$400 (RM1,655) sebulan.

Menurutnya, penyedut minuman berkenaan boleh digunakan sehingga enam bulan. Namun, dia sedar bahawa jumlah pengeluaran produknya tidak tetap memandangkan bekalan rumput itu yang terbatas di Vietnam.

“Saya mendapat idea tentang penyedut minuman ini untuk menggantikan produk plastik untuk mengurangkan sebahagian kerosakan yang dihadapi alam sekitar,” ujarnya.

“Sejak awal, saya menjalankan perusahaan ini dengan menyedari bahawa kadar tuaian tidak boleh melebihi kadar pembiakan rumput ini secara semula jadi. Alam perlukan masa untuk pulih semula,” jelasnya.

Sumber: Astro Awani