Dengan keizinan Allah SWT, senaskhah al-Quran ditemukan dalam keadaan elok tidak dimamah api dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pauh, Perak, pada minggu lalu.

Kebakaran berlaku pada pukul 7.10 pagi itu menyebabkan seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun tinggal seorang diri di rumah tersebut tinggal sehelai sepinggang.

Seorang penduduk di kampung itu, Hasnah Mat Salleh, 55 tahun, menjelaskan bahawa orang kampung tidak dapat membantu kerana ketiadaan punca air untuk memadamkan api sehinggalah bomba tiba.

“Sebaik api dipadamkan, kami terkejut apabila adik-beradik warga emas itu menemui senaskah al-Quran yang cuma terbakar sedikit di bahagian tepi ketika mencari sisa barangan, termasuk tabung syiling,” ujarnya.

“Semua barangan yang ada dalam rumah terbabit musnah sepenuhnya kecuali naskah al-Quran itu selain beberapa lembaran kertas bertulis ayat suci,” jelasnya.

“Ia menunjukkan kebesaran Allah SWT. Timbul keinsafan di hati saya memandangkan sebelum ini hanya mendengar cerita daripada orang lain, namun kali ini berpeluang menyaksikannya,” katanya.

“Penghuni rumah itu masih bujang selain tinggal bersendirian di rumah pusaka keluarganya. Dia yang tidak bekerja dan mempunyai masalah pembelajaran ditanggung dan dipantau oleh adik-beradiknya selain kami,” ujar seorang lagi penduduk, Zamziah Din, 74 tahun.

Menurut pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Perak, kebakaran itu telah memusnahkan kira-kira 90 peratus rumah.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, dibantu anggota BBP Kamunting dikejarkan ke lokasi. Operasi pemadaman tamat pukul 8.35 pagi,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro