Rumah patuh syariah diperkenalkan semasa pembaharuan Dasar Perumahan Terengganu baru-baru ini dapat memberikan rumah yang lebih selesa dan teratur untuk keluarga dalam pembinaan Rumah Mampu Milik(RMM) di negeri Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menjelaskan bahawa menerusi dasar baru yang lebih mesra pelabur dan pembeli, kerajaan negeri menyasarkan membina 20,000 unit RMM di seluruh negeri tersebut dalam tempoh empat tahun hingga 2022.

Menerusi Dasar Perumahan baru itu, setiap RMM mengikut reka bentuk patuh syariah dan bercirikan Islamik dengan tiga bilik tidur, ruang tamu serta ruang makan diasingkan untuk privasi keluarga, pengasingan bilik mandi dan tandas, selain penambahbaikan beberapa ciri lain.

“Kebiasaannya RMM dibina tanpa menitikberatkan kualiti susun atur rumah itu, tetapi dengan syarat patuh syariah kita mahu soal penjagaan aurat anggota keluarga dalam rumah itu diberi keutamaan dengan susun atur yang betul termasuk mengasingkan ruang tamu dan ruang makan,” ujarnya.

“Jadi apabila ada tetamu datang ia tidak mengganggu privasi dan aktiviti tuan rumah. Kebanyakan RMM apabila masuk terus nampak dapur, jadi kita mahu elak itu,” jelasnya.

Menurutnya, bahagian tandas dengan bilik mandi akan dipasang penghadang bagi menjaga kebersihan ketika berwuduk, sementara rumah juga akan ditambah dengan garaj kereta sebagai satu lagi proses penambahbaikan rumah.

“Kita juga mahu pastikan aspek pengudaraan dan pencahayaan RMM menerusi dasar baharu ini yang sering diabaikan sebelum ini,” katanya.

Difahamkan, harga jualan serendah RM68,000 hingga RM80,000 bagi rumah jenis A dengan keluasan lantai 75 meter persegi manakala RM68,000 hingga RM185,000 bagi rumah jenis B berkeluasan 84 meter persegi.

Untuk permulaan, 385 unit RMM jenis A akan dibina di Bukit Cina, Pasir Akar, Besut dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Sumber: Harian Metro