Jumlah pelancong dari Brunei ke Sarawak khususnya bandaraya ini dijangka meningkat apabila syarikat penerbangan negara itu akan melaksanakan penerbangan terus antara Bandar Seri Begawan dan Kuching.

newsavia.com

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, memberitahu bahawa dalam tempoh sebulan atau dua, Royal Brunei Airlines (RBA) akan menampilkan penerbangan empat kali seminggu dari Bandar Seri Begawan ke Kuching, Sarawak.

Menurutnya, pada masa yang sama juga Sarawak akan membuka Pejabat Perdagangan di Bandar Seri Begawan yang boleh mengeluarkan visa bagi memudahkan pelawat warga asing yang menggunakan RBA ke Brunei, untuk meneruskan lawatan mereka ke Kuching.

“Tahun ini jumlah pelancong yang datang ke Sarawak ialah 4.8 juta, Kementerian Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak yang diterajui oleh Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semakin sibuk dengan pertambahan jumlah pelancong,” katanya.

“Kerajaan sarawak mengambil pendekatan untuk mengemaskini kawasan-kawasan yang strategik untuk para pelancong. Di Kuching kita ada Sungai Sarawak yang boleh beri kesan yang amat baik, baru-baru ini juga kita tambah lagi tarikan seperti Darul Hana Water Fountain,” jelasnya.

“Selain itu juga kita akan wujudkan perkhidmatan bas pelancong yang akan pusing bandar raya Kuching termasuk kawasan warisan Melayu di sini,” tambahnya.

Sumber: Astro Awani