Ruang solat atau musolla di ‘rooftop’ KLIA telah dibuka untuk umat Islam menunaikan Solat Jumaat. Menurut Malaysia Airports, Pejabat Agama Islam Daerah Sepang dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah pun memberi kelulusan rasmi untuk fasiliti musolla ini beroperasi bermula 10 Mei 2019.

Ura-ura mengenai penggunaan rooftop ini sebagai ruang Solat Jumaat telah berlegar sejak April lagi, namun Malaysia Airports menegaskan bahawa ia tidak akan dibuka selagi tidak mendapat kelulusan.

Ruang solat ini dapat memuatkan di antara 800 sehingga 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa. Mereka juga menyediakan lebih 50 unit paip bagi pengambilan wuduk, pendingin hawa mudah alih, kipas gergasi dan kipas berwap sejuk di kesemua sudut musolla untuk keselesaan para jemaah.

Selain itu, Ambal dan sejadah turut disediakan untuk para jemaah yang menunaikan solat Jumaat di situ. Pembukaan musolla ini adalah salah satu inisiatif Malaysia Airports untuk memudahkan para jemaah menunaikan solat Jumaat terutamanya wargakerja dan penumpang di KLIA.

Ruang solat ini juga terbuka bagi penggunaan orang ramai. Buat masa ini, ia hanya dibuka pada hari Jumaat untuk tujuan Solat Jumaat sahaja. Pembukaan pada hari-hari lain masih belum diumumkan.

Sumber:SAYS