Beberapa hari lepas, sekumpulan penunggang perkhidmatan motosikal e-hailing melarikan jenazah seorang bayi daripada sebuah hospital iaitu Rumah Sakit Dr Muhammad Djamil di Padang, Indonesia.

CNN Indonesia

Difahamkan, tindakan itu dilakukan berikutan mereka berang dengan pihak hospital yang didakwa sengaja melengah-lengahkan pengurusan mayat seorang anak kepada rakan mereka.

“Kami mengambil tindakan apabila dapat tahu keluarganya tidak boleh mengebumikan anak mereka kerana tidak mampu bayar bil hospital sebanyak 25 juta rupiah (kira-kira RM7,400),” ujar Wardiansyah kepada BBC Indonesia.

Menurutnya yang menggambarkan tindakan itu sebagai satu “misi kemanusiaan”, mereka nekad dengan usaha mereka biarpun dihalang oleh pihak hospital.

“Pegawai-pegawai keselamatan cuba menghentikan kami, namun mereka berputus asa apabila mereka lihat jumlah penunggang motosikal yang terlalu ramai,” jelasnya.

Malah, rakaman video yang menunjukkan puluhan penunggang motosikal syarikat e-hailing yang membawa keluar jenazah Alif Putr dari hospital tersebut turut tular di laman sosial negara berkenaan.

Sebelum ini, terdapat beberapa laporan yang mendakwa hospital dan klinik di Indonesia tidak membenarkan bayi yang baru lahir dilepaskan sehinggalah bil rawatan dibayar sepenuhnya.

CNN Indonesia

Ibu kepada bayi tersebut, Dewi Surya, menyatakan bahawa keluarganya dalam proses mendaftar skim penjagaan kesihatan apabila Alif Putr mulai jatuh sakit.

Kemudian, Alif menjalani pembedahan namun meninggal dunia pada pagi Selasa lalu.

“Hospital itu desak kami untuk bayar bil. Proses dokumentasi pula mengambil masa lama,” katanya.

“Kumpulan penunggang motosikal naik marah, lalu bawa keluar Alif secara paksa sebab kasihan jenazah yang tunggu lama dalam rumah mayat,” sambungnya.

Pengarah hospital, Yusirwan Yusuf, menjelaskan bahawa bil tertunggak jenazah bayi tersebut sudah dibayar oleh lembaga hospital dan menggambarkan insiden itu sebagai salah faham.

“Hospital kami hanya mendapat tahu tentang keadaan keluarga itu apabila mereka memfailkan aduan bersama pegawai kami,” katanya.

“Kami merupakan hospital awam dan tidak pernah sekali pun bertanya kepada pesakit sama ada mereka mampu membayar untuk rawatan,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Yusirwan mengkritik tindakan yang diambil oleh kumpulan penunggang e-hailing itu yang dilakukan secara “bahaya dan semberono”.

“Kami mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan ia dilanggar. Itu sangat keterlaluan. Bagaimana jika jenazah itu mempunyai penyakit berjangkit? Siapa yang akan bertanggungjawab?” soalnya.

Tidak lama selepas itu, seorang wakil daripada kumpulan penunggang motosikal itu kemudian memohon maaf daripada pihak pengurusan hospital atas tindakan mereka.

“Saya, mewakili rakan setugas saya, minta maaf atas insiden itu dan kami berhasrat untuk membersihkan nama hospital ini,” ujarnya

“Kami tidak tahu tentang prosedur itu. Ia mengambil masa yang terlalu lama, kerana itu kami mengambil tindakan,” tambahnya lagi.

Sumber: Astro Awani