Ribuan rakyat New Zealand daripada pelbagai agama membanjiri bandar South Island, New Zealand, hari ini bagi mengikuti upacara memperingati 50 mangsa yang terkorban dalam serangan ganas di dua masjid di Christchurch dua minggu lepas.

Malah, masyarakat Maori turut memberi penghormatan dengan membuat laungan mengikut tradisi mereka, lapor AFP. Bacaan doa turut dilakukan dan penyanyi British yang sudah memeluk Islam, Cat Stevens atau Yusuf Islam menyampaikan lagu bertajuk ‘Peace Train’.

Semasa semua nama mangsa itu dibacakan, Perdana Menteri, Jacinda Ardern, kelihatan menundukkan kepalanya sambil berdiam diri. Difahamkan, upacara itu turut disertai oleh wakil hampir 60 negara termasuk rakan sejawatnya dari Australia, Scott Morrison.

detik.com

Ardern yang berucap pada majlis itu diberi tepukan gemuruh dari seluruh rakyat dan komuniti Islam yang memuji kebolehannya menangani situasi dengan baik selepas berlakunya tragedi pada 15 Mac itu.

“Keganasan itu wujud, tetapi ia tidak dialu-alukan di sini. Kita tidak pernah lali dengan virus kebencian dan ketakutan. Namun, kita boleh menjadi satu negara yang boleh mencari penawarnya,” ujarnya.

Seorang mangsa yang terselamat, Farid Ahmed, sempat memberitahu kepada ribuan hadirin bahawa dia memilih keamanan dan memilih untuk memaafkan pengganas yang menembak mati isterinya, Husna.

Sumber: Harian Metro