Kita biasa lihat restoran nasi kandar menjual rokok dan kebanyakan restoran nasi kandar juga membenarkan pelanggan menghisap rokok sebelum larangan merokok dikuatkuasakan awal tahun ini di semua restoran, kedai makan dan warung.

Oleh itu, Pemilik restoran nasi kandar Pelita, Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd (Pelita), telah menghentikan penjualan rokok di semua kaunter rangkaian restorannya di seluruh negara bermula semalam.

hmetro.com.my

Pengarah Eksekutif Pelita, Datuk K K Sihabutheen, memberitahu bahawa sepatutnya pemberhentian penjualan rokok di 28 buah cawangan restoran nasi kandar itu dibuat bermula pertengahan tahun depan berikutan pihaknya masih mempunyai kontrak bersama pihak pembekal rokok.

Walau bagaimanapun, menerusi satu perbincangan bersama pembekal rokok, mereka bersetuju menamatkan kontrak membekal rokok di restoran nasi kandar Pelita bermula semalam.

“Kami yakin langkah ini akan disokong pelanggan kerana kebanyakan mereka mahu satu kawasan bebas daripada asap rokok. Lagipun tidak guna menjual rokok kalau menghisap rokok tidak dibenarkan dalam restoran,” katanya.

Menurutnya, tindakan menghentikan penjualan rokok itu adalah bagi menyokong hasrat kerajaan yang menguatkuasakan larangan merokok di restoran dan kedai makan.

“(Hasil) jualan rokok setiap bulan adalah kira-kira RM300,000, namun saya percaya ia (kemerosotan hasil ekoran pemberhentian jualan rokok) dapat diatasi dengan jualan makanan,” sambungnya.

Sumber: mStar