Selepas penularan video pekerja restoran daun pisang terkenal di Bangsar mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiba hari ini untuk menyerahkan notis penutupan.

Difahamkan, seramai 10 orang pegawai DBKL tiba di Raj’s Banana Leaf Bangsar dengan menaiki dua buah van pada 9.20 minit pagi tadi.

Malah, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan turut hadir di sana untuk menjalankan pemeriksaan berikutan video tular mengenai restoran itu malam tadi.

Selepas video tersebut tular di aplikasi Whatsapp dan laman sosial, pihak pengurusan restoran Raj’s Banana Leaf meminta maaf menerusi akaun Facebook rasmi mereka.

Menurut portal tempatan TwentyTwo13, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, memberitahu restoran tersebut diarah tutup bermula hari ini.

“Saya akan mengarahkan pegawai Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar menyita premis itu esok (hari ini). Ia akan ditutup sehingga mereka mematuhi semua peraturan,” katanya.

Sumber: Harian Metro