Jika sebelum ini beberapa restoran nasi kandar ditutup sekitar Bangsar dan Petaling Jaya akibat kotor, kini sebuah lagi restoran briyani popular di Lebuh Chulia, Georgetown, Pulau Pinang diarah tutup, semalam.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Wan Mansor Hamzah, hasil pemeriksaan mendapati mereka menemukan tempat pembiakan lipas dalam premis itu di sampng tahap kebersihan tidak memuaskan.

“Pegawai kesihatan memberi notis penutupan dua minggu kepada restoran itu bermula hari ini, kerana hasil pemeriksaan mendapati restoran terbabit beroperasi dalam keadaan kotor,” katanya.

Arahan itu dikeluarkan setelah pegawai kesihatan membuat pemeriksaan dan berjaya menemukan tempat pembiakan lipas dalam premis tersebut.

“Difahamkan, ini bukan pertama kali restoran terkenal berkenaan menerima notis penutupan sementara kerana kotor,” jelasnya.

Operasi tersebut bermula pada pukul 8 pagi hingga 10 malam semalam itu telah mengeluarkan notis arahan tutup kepada 11 premis makanan serta dua kilang memproses makanan.

Selain restoran nasi briyani popular itu diarahkan tutup, pihak kesihatan negeri turut mengeluarkan notis tutup ke atas sebuah restoran yang pernah disiarkan dalam sebuah program destinasi makanan popular di televisyen.

Sumber: Harian Metro