Koktail buah merupakan salah satu pencuci mulut yang sering dibuat untuk berbuka puasa bersama keluarga. Namun, ramai beranggapan bahawa makan koktail buah ini tidak berapa sihat kerana bahan-bahanya yang manis.

Sebenarnya kita harus hadkan pengambilan air manis dan makan banyak buah untuk melancarkan pencernaan di bulan puasa ini. Tapi sesekali tentu nak merasa makan dessert atau pencuci mulut juga ketika berbuka.

Jadi apa kata kita cuba resepi koktail versi sihat yang dikongsikan oleh Puan Siti Zainab Nac ini.

“Biasa kita guna susu pekat manis dan beli buah dalam tin kan? Kali ni saya tukar resepi koktail sihat sikit guna buah segar dan tukar susu isian sejat ke susu segar (pure fresh milk). Lagi segar dan sihat berbanding guna barang segera dalam tin.”

Berikut adalah bahan-bahannya.

BAHAN-BAHAN
1 botol susu segar. Saya guna jenama Farm Fresh (pure fresh milk) 700ml.
1 cawan strawberry
1 cawan mempelam
1 cawan buah naga
1 cawan laici
1 cawan nenas
1 cawan anggur hijau
1 cawan anggur merah
1 cawan betik
1 cawan kiwi
1 bekas nata de coco
1 paket sumi jelly (anak-anak yang request)
Semua buah-buahan dipotong dadu. Boleh tukar guna buah-buahan lain ikut suka.

CARA-CARA

1. BUAT KUAHNYA

Pertama sekali, kita buat kuahnya.

Masukkan susu segar dalam satu balang. Kemudian masukkan 1 bekas nata de coco serta jelly.

2. SEDIAKAN BUAH

Buah-buahan segar tadi yang mana perlu dikupas, buang kulitnya dan dadu sederhana besar, begitu juga buah-buah yang lain.

Saya potong buah guna bentuk-bentuk menarik untuk tarik minat anak makan. Isikan ke dalam sebuah bekas untuk disejukkan.

3. SEJUKKAN

Sejukkan dalam peti ais bahan kuah dan buah-buahan yang telah dipotong tadi sebelum berbuka. Saya sejukkan dalam 5 jam macam tu.

4. HIDANG

Bila dah nak berbuka atau hidang, boleh isikan setiap jenis buah dalam 1 gelas. Kemudian, cedok kuah kedalam buah. Sedia untuk dinikmati.

Mudah, kan? Selamat mencuba dan selamat berbuka puasa!

Sumber: Sirap Limau