Pihak polis Nilai menjalankan pencarian seorang remaja perempuan warga Ireland yang dilaporkan hilang dari resort di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, menjelaskan bahawa pihaknya menerima satu laporan mengenai kehilangan Nora Anne Quoirin, 15 tahun, daripada pemilik resort tersebut pada pukul 1.30 petang semalam.

“Kami telah mengerahkan tiga anggota polis, 10 anggota bomba dan tiga anggota polis bersama anjing pengesan dari K9 dan sedang menjejaki gadis ini,” ujarnya.

Sehingga hampir tengah malam tadi, remaja tersebut masih belum ditemukan dan gerakan pencarian diteruskan kembali.

Difahamkan, semua KPD dan elemen polis Negeri Sembilan turut membantu mencari mangsa yang hilang itu.

Untuk pengetahuan anda, Nora mempunyai masalah pembelajaran dan kehilangannya menjadi tanda tanya kerana dia bukan seorang yang akan menghilangkan diri begitu saja, lapor BBC.

Terdahulu, Nora dan keluarga tiba di negara ini pada Sabtu lepas untuk bercuti selama dua minggu dan menginap di Resort The Dusun Pantai Hill.

Walau bagaimanapun, dia sudah tidak kelihatan di bilik penginapannya pada pukul lapan pagi semalam, menurut keluarganya.

Sumber: Astro Awani