Sebuah masjid di Kemaman, Terengganu, mempunyai cara yang menarik untuk menggalakkan para remaja dan kanak-kanak menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid.

Kempen Solat Subuh di Masjid melalui pemberian insentif duit saku RM3 setiap seorang dilihat dapat menarik perhatian mereka untuk solat Subuh di Masjid Batu 2 1/2 Mak Chili, sebelum ke sekolah pada setiap pagi.

“Pada hari pertama, 50 pelajar sahaja hadir solat Subuh berjemaah di masjid itu, tetapi sekarang jumlah kehadiran lebih 80 pelajar,” ujar Timbalan Pengerusi Masjid Batu 2 1/2 Mak Chili, Johan Ismail.

“Setiap seorang diberikan wang saku RM3 sebagai penghargaan atas kehadiran mereka ke masjid pada waktu Subuh untuk solat berjemaah,” jelasnya sambil memberitahu kempen itu mendapat sambutan yang menggalakkan sejak ia bermula pada 1 Januari lalu.

“Selepas solat Subuh berjemaah, mereka perlu mendengar tazkirah ringkas selama 10 hingga 15 minit terlebih dahulu sebelum beratur dan diserahkan insentif itu oleh ahli jawatankuasa masjid,” katanya.

Difahamkan, pemberian wang itu bukan hanya penghargaan solat di masjid, tetapi membantu golongan yang tidak berkemampuan.

“Bagi pelajar dan murid berkemampuan, mereka boleh menyimpan wang sekiranya tidak berbelanja di sekolah,” sambungnya.

“Kempen itu diteruskan sehingga akhir Januari ini dan disambung pada Februari bergantung kepada keadaan semasa dan sambutan diterima,” tambahnya lagi.

“Alhamdulillah, sejak kempen itu dijalankan saf solat Subuh yang sebelum ini hanya tiga saf kini bertambah menjadi tujuh saf,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro