Seorang remaja orang kurang upaya(OKU) cacat penglihatan sejak lahir, Mohammad Syafiizwan Mohd Suhaini, 19 tahun, tidak sangka akan dilantik menjadi bilal bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Syafiizwan yang berasal dari Kampung Bukit Kerayong, Klang, itu dilantik pada 1 Ogos lalu selepas berjaya melalui pemilihan Akademi Muazzin.

Menurutnya, dia tidak menyangka dan tidak pernah terdetik untuk menyandang jawatan sebagai seorang bilal berikutan tugas beratnya adalah mewakili masjid utama di Selangor.

“Ini semua rezeki daripada ALLAH dan menganggap pelantikan saya ini sebagai kejayaan serta penaik semangat buat golongan yang senasib dengan saya di mana insan istimewa seperti kita boleh berjaya,” ujarnya.

“Sekiranya kita bersemangat dan mahu keluar dari kepompong sedia ada sudah tentu ALLAH bersedia untuk menunjukkan jalan-Nya,” jelasnya.

“Kejayaan ini juga sudah tentunya atas sokongan keluarga terutamanya ayah saya yang sejak awal menemani ketika menyertai Akademi Muazzin,” katanya.

Selain itu, Siak Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Mohd Halim Mashor, menjelaskan bahawa kehadiran Syafiizwan menjadi buah mulut petugas-petugas dan imam sejak dia menyertai Akademi Muazzin Ogos lalu.

“Imam ada kata dengan dengan saya lelaki itu tidak seperti kita namun tidak mahu bercerita lebih lanjut kepada saya dan meminta saya supaya pergi melihatnya sendiri. Setelah melihat di depan mata serta berpeluang melihat bakat yang ada padanya, betapa dirasakan Allah itu Maha Berkuasa,” tambahnya.

“Dia tidak nampak sama seperti manusia normal tetapi cukup hebat bertaranum, qasidah dan sebagainya. Insan sebegini kita patut sanjungi kerana dia juga berupaya mengubah nasib individu yang senasib dengannya satu hari nanti,” sambungnya lagi.

Sumber: Sinar Harian