Asam pedas merupakan salah satu hidangan popular di negara ini terutama di Melaka, Johor dan sebagainya. Malah, ia biasanya dimasak menggunakan ikan sebagai bahan utama contohnya ikan pari, kembung, merah, tenggiri dan banyak lagi.

Namun, perkongsian oleh seorang wanita di Facebook, Supiah Husein, mengenai menu masakannya, asam pedas rambutan, mendapat perhatian warga laman sosial kerana ramai yang tidak tahu bahawa rambutan boleh dimasak sebagai asam pedas.

Perkongsian hidangan unik itu mendapat pelbagai reaksi daripada warga laman sosial hinggakan ada yang tertanya-tanya apakah rasa sebenar asam pedas rambutan tersebut.

“Yang ni memang unik. Saya belum pernah jumpa, rambutan yang masam ke yang manis sedap buat asam pedas,” ujar Suhaila Samsu.

Menurut Supiah, dia tidak tahu apa yang pelik dengan masakannya kerana dia hanya menggunakan buah-buahan tempatan yang biasa dimakan.

“Saya orang susah, apa ada di sekeliling itulah jadi makanan. Lagipun kita orang Malaysia kan. Cintailah buah tempatan dan pelbagaikan hidangan,” luahnya.

Mungkin rasa sebenar asam pedas rambutan bergantung pada jenis buah rambutan itu sendiri sama ada masam atau manis. Kena masak dan cuba sendiri baru tahu rasanya.

Sumber: Fb Supiah Husein & Masak Apa Hari Ni