Mulai hari ini, kerajaan negeri Selangor membenarkan pengunjung restoran, medan selera, gerai berbumbung serta kiosk menikmati hidangan di premis-premis tersebut.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menyatakan orang ramai harus mematuhi penjarakan sosial.

Gambar sekadar hiasan

“Semua premis makanan berkenaan dibenarkan beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di dalam premis bermula pukul 7 pagi hingga 10 malam, tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial. Namun, peniaga tidak dibenarkan membuka meja di kawasan kaki lima mahupun di tempat letak kenderaan,” ujarnya.

“Peniaga juga digalak memberi pilihan ‘pre-order‘ kepada pelanggan bagi mengelakkan kesesakan di premis mereka. Penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” jelasnya.

Selain itu, dia turut memberitahu bahawa peniaga ‘food truck‘ dan penjaja tepi jalan turut dibenarkan beroperasi semasa PKPB berlangsung dan waktu jualan bermula pukul lapan pagi hingga 10 malam namun terhad kepada urusan pandu lalu, bungkus dan penghantaran sahaja.

Gambar sekadar hiasan

Namun, PBT akan meneliti keperluan penggiliran penjaja tepi jalan untuk beroperasi jika kedudukan gerai dekat antara satu sama lain sehingga sukar untuk penjarakan sosial dalam kalangan orang awam.

Di samping itu, pasar awam, pasar borong, pasar segar dan pasar swasta boleh beroperasi seperti biasa namun aktiviti penyembelihan dan pemprosesan ayam di lokasi sama tidak dibenarkan.

“Pasar pagi dan pasar malam masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan PKPB sehingga 9 Jun ini,” katanya.

“Selain itu, semua jenis taman di negeri ini dibenarkan untuk dibuka kepada rakyat beriadah bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam. Aktiviti memancing juga boleh dilakukan. Bagaimanapun, sebarang perkhemahan dan pendakian masih tidak dibenarkan,” tambahnya.

Difahamkan, surat pekeliling lebih terperinci mengenai keputusan kerajaan negeri itu akan dikeluarkan sebagai rujukan dan perkara lain yang tidak termasuk dalam senarai berkenaan adalah tertakluk kepada tatacara SOP Majlis Keselamatan Negara.

Sumber: Astro Awani & Bernama