Semalam, seorang rakyat Malaysia dipercayai lemas semasa aktiviti snorkeling di Pulau Poda, Ao Nang, Wilayah Krabi, Thailand.

Gambar sekadar hiasan

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi (waktu tempatan), mangsa, Muhamad Hafizee Supie, 25 tahun, bekerja sebagai juruteknik dari Ledang, Johor, melancong ke Pantai Ao Nang bersama rakan sekerjanya.

Pegawai Penyiasat Pejabat Polis Daerah Ao Nang, Kapten Nakorn Chartthai, menjelaskan bahawa pasukan sukarelawan yang berada di tempat kejadian telah memberi bantuan pernafasan(CPR) terhadap mangsa di tempat kejadian namun tidak berjaya.

“Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Krabi kira-kira 10 pagi dan disahkan meninggal dunia kira-kira 12.20 tengah hari (waktu tempatan),” ujarnya.

Difahamkan, jenazah allahyarham kini ditempatkan di Hospital Krabi sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

“Muhamad Hafizee mengikuti rombongan syarikat ke Krabi dengan menaiki bas pada Khamis dan dijangka pulang ke Malaysia pada Selasa,” ujar kakak tiri allahyarham, Siti Saadiyah Ismail.

“Kami dimaklumkan kejadian itu oleh rakan sekerjanya kira-kira 4 petang (waktu Malaysia),” katanya.

Menurutnya, keluarga mereka sedang berurusan dengan wakil Konsulat Malaysia di Songkhla untuk membawa balik jenazah allahyarham Hafizee ke Malaysia.

Sumber: Astro Awani & Bernama