Negara Amerika Selatan, Bolivia, sedang mengalami ketegangan politik selepas pilihan raya presiden pada Oktober lalu.

thenation.com

Bolivia terjerumus dalam kancah kekacauan apabila penunjuk perasaan membantah keputusan pilihan raya presiden yang menyaksikan Evo Morales mengumumkan kemenangannya untuk penggal keempat.

Kemudian, Morales dipaksa meletakkan jawatannya pada Ahad selepas menerima tekanan daripada pihak tentera dan polis.

Selepas itu, pada hari Selasa beliau tiba di Mexico selepas diberikan suaka politik. Naib Speaker Kedua Senat, Jeanine Anez, pula mengumumkan dirinya sebagai presiden sementara.

Berikutan pergolakan itu, nasihat perjalanan dikeluarkan oleh kedutaan United Kingdom dan Amerika Syarikat di Bolivia.

Menurut kenyataan Pegawai Konsular kedutaan Malaysia di Peru, Syed Ahmad Naufal Syed Isa, tiada rakyat Malaysia yang menetap di Bolivia pada masa ini berdasarkan rekod kedutaan.

“Kami menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan niat mereka untuk ke Bolivia buat masa ini, sehingga keadaan di Bolivia kembali tenang,” ujarnya.

Menurutnya, kedutaan telah dimaklumkan oleh Konsul Kehormat Thailand di Bolivia, bahawa semua aktiviti di negara tersebut telah lumpuh dengan kebanyakan jalan-jalan ditutup selain beberapa penerbangan dibatalkan.

Tambahnya, seorang rakyat Malaysia dilaporkan dalam perjalanan ke Bolivia namun telah dikenalpasti dan menghubungi kedutaan Malaysia melalui e-mel.

“Dia dinasihatkan terus kekal di sana dan kini tinggal di sebuah hotel di Bolivia. Dia diminta menghubungi kedutaan jika berlaku sebarang kecemasan,” jelasnya.

Untuk pengetahuan anda, Malaysia tidak mempunyai kedutaan di Bolivia, tetapi Kedutaan Malaysia di Peru ditauliahkan serentak ke Bolivia.

Sumber: Sinar Harian & Bernama