Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli, 41 tahun, sebelum ini pernah dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen pada tahun 2016 bagi kesalahan mendedahkan satu muka surat laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Walau bagaimanapun, awal pagi tadi Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan bahawa dia dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun.

Panel tiga hakim iaitu Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil membenarkan rayuan Rafizi dengan bon kelakuan baik dan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin.

Sementara itu, pihak pendakwa raya turut menarik balik rayuan balas terhadap pembebasan Rafizi daripada pertuduhan pertama iaitu memiliki laporan audit tanpa kebenaran.

Bagi pertuduhan kedua, Rafizi dituduh mendedahkan isu kandungan laporan tersebut dalam sidang media di lobi bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada 28 Mac 2016 lalu.

Rafizi datang ke mahkamah pada pagi tadi dengan perasaan bercampur baur dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk dihukum penjara.

Dia bersyukur dan berterima kasih kepada pihak mahkamah, timbalan pendakwa raya dan peguam bela selepas mahkamah memutuskan dia hanya dikenakan bon berkelakuan baik sahaja.

Sumber: mStar