Jika sebelum ini kumpulan nasyid Rabbani tak ketinggalan mengadakan majlis berbuka puasa bersama peminat apabila tiba bulan Ramadan di hotel, tahun ini mereka tampil membuat kelainan apabila mahu mengajak para peminat berbuka puasa di dalam gua.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, 45, berkata gua yang bernama D’Gua Alkahfi terletak di Taman Industri Bolton, Batu Caves itu sesuai dijadikan lokasi untuk berbuka puasa nanti.

“Kita ingin beri pengalaman baru kepada peminat yang ingin berbuka puasa dalam gua selain bersolat jemaah Maghrib,” ujarnya sambil menambah mereka mengetahui gua itu daripada seorang rakan.

gempak.com

Difahamkan, Rabbani bakal menghiburkan peminat dengan selawat, zikir serta nasyid sebelum dan selepas berbuka puasa bermula 3 Ramadan sehingga 27 Ramadan depan.

Selain itu, hidangan makanan juga berbeza dari tempat lain kerana ia bertemakan hidangan berasaskan sunah ala kampung.

Untuk pengetahuan anda, Pakej berbuka bersama Rabbani D’Gua Alkahfi berharga RM69 bagi orang dewasa manakala kanak-kanak berharga RM30 dan kanak-kanak bawah lima tahun adalah percuma.

Sumber: mStar