Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer(PUSPAKOM), akan beroperasi semula bagi pemeriksaan kenderaan perdagangan kategori tertentu selain perkhidmatan Trak Bergerak bermula 29 April ini.

Gambar sekadar hiasan

Menurut kenyataan PUSPAKOM pada Sabtu lalu, mereka memaklumkan pengoperasian itu dilakukan di semua cawangan di seluruh negara kecuali di Batu Caves, Pandan Mewah, Glenmarie dan Taman Daya.

“Kategori kenderaan perdagangan yang boleh diterima oleh PUSPAKOM untuk sementara ini termasuk kenderaan barangan, perkhidmatan awam dan pelancongan,” tulisnya.

“Kami juga akan mengumumkan kelak jika perkhidmatan pemeriksaan lain akan beroperasi semula,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Cawangan yang dibuka juga akan menyediakan khidmat pembaharuan insurans, sementara cawangan di Lembah Klang dan zon selatan yang sebelum ini menawarkan perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) juga akan menyediakan perkhidmatan tersebut,” jelasnya.

Selain itu, semua pelanggan perlu membuat tempahan menerusi MyPUSPAKOM sebelum hadir membuat pemeriksaan kenderaan bagi memudahkan urusan.

Difahamkan, tiada pelanggan dibenarkan ‘walk-in’ untuk pemeriksaan kecuali bagi kenderaan yang telah tamat perakuan pemeriksaan antara 18 Mac hingga 28 April ini.

Namun, mereka harus rujuk jadual disediakan menerusi https://www.puspakom.com.my/news-announcement/ untuk memastikan memastikan tarikh yang ditetapkan bagi pemeriksaan kenderaan mereka.

Gambar sekadar hiasan

“Kenderaan yang tamat tempoh perakuan pemeriksaan selepas 28 April ini, diwajibkan membuat temu janji dalam talian di www.mypuspakom.com.my sebelum hadir pemeriksaan dan perlu membawa Insurance Cover Note sebagai dokumen tambahan selain kad pendaftaran kenderaan asal dan perakuan pemeriksaan terkini,” tambahnya lagi.

Pelanggan perlu mendaftar di kaunter pendaftaran di cawangan yang dipilih sebelum 4.30 petang dan hanya seorang pemandu sahaja dibenarkan masuk ke premis pada satu masa.

Anda dinasihatkan menangguhkan atau menghantar wakil bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan jika tidak sihat, mengalami simptom batuk, demam dan sesak nafas atau mempunyai sejarah melancong ke luar negara.

Anda boleh mendapatkan sebarang maklumat terkini dengan mengikuti akaun Facebook rasmi PUSPAKOM Sdn Bhd atau layari www.puspakom.com.my.

Sumber: Astro Awani & Bernama