Pulau peranginan terkenal iaitu pulau Redang, Terengganu, menjadi pulau peranginan pertama di Malaysia yang menjayakan kempen pembayaran tanpa tunai MyDebit oleh Bank Negara Malaysia(BNM).

Ketua Pejabat Bank Negara Kuala Terengganu, Adlis Khairil Sazly Mohd Zaini, menjelaskan bahawa inisiatif yang dilaksanakan itu untuk meningkatkan penyertaan kewangan di lokasi tersebut di samping melancarkan urusan transaksi harian.

“Kita akan menaikkan taraf dari segi pelancongan di mana pembayaran tanpa tunai lebih meluas untuk penduduk di sekitar Redang dan untuk pelancong insya-Allah akan menular ke sektor-sektor yang lain contohnya pendidikan, makanan dan minuman (F&B) dan juga sektor-sektor yang lain,” ujarnya.

Menurutnya, sehingga kini, seramai 63 peniaga di pulau Redang dan kawasan sekitarnya telah menerima manfaat menerusi program yang dilaksanakan pada Oktober tahun lalu.

Difahamkan, pihaknya menganggarkan sebanyak 73 peratus daripada 86 peniaga di Pulau Redang menawarkan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai menerusi terminal tempat jualan(POS) dan kad ATM MyDebit di samping aplikasi QR Pay Maybank.

Malah, pihaknya akan memantau program tersebut dalam tempoh setahun bagi menilai kemajuan dan cabaran bagi menambah baik perkhidmatan tersebut.

Sumber: Astro Awani