Jumlah petugas yang ditetapkan bagi menguruskan ibadah korban di negeri Pulau Pinang dihadkan kepada 10 orang bagi setiap penyembelihan seekor lembu, kerbau atau unta manakala penyembelihan kambing pula dihadkan kepada empat petugas.

Gambar sekadar hiasan

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Zulkifli Long, menjelaskan tempoh yang dibenarkan bagi pengurusan ibadah korban di antara pukul lapan pagi sehingga enam petang.

Difahamkan, jumlah haiwan yang ingin dikorbankan tidak dihadkan namun bergantung kepada keluasan kawasan.

“Petugas juga tidak dibenarkan berkongsi peralatan kerja penyembelihan, melapah dan memotong serta perlu membawa sendiri peralatan yang sudah disanitasi,” ujarnya.

“Pengurusan ibadat itu perlu melalui permohonan dan kelulusan daripada Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing yang menjadi syarat utama kepada Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar(JPV),” jelasnya.

Menurutnya, penetapan garis panduan berkenaan adalah seiring dengan normal baharu dalam mengekang penularan Covid19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP).

Tambahnya, pengesahan penyertaan, penyempurnaan akad atau wakalah serta pembayaran boleh dilakukan secara dalam talian.

Selain itu, peserta juga tidak dibenarkan berada dalam kawasan pengurusan korban, tetapi boleh hadir secara berperingkat bagi mengambil bahagian korban masing-masing.

“Aktiviti akikah, memasak daging korban atau jamuan di tempat pelaksanaan juga tidak dibenarkan,” sambungnya lagi.

“Petugas dan peserta perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan sarung tangan,” katanya.

Sumber: Harian Metro