Pulau Pangkor bakal menyusul dalam mendapat status bebas cukai pada 1 Januari tahun depan. Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkata, kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan untuk mewartakan pulau itu sebagai bebas cukai, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2019 November lalu.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pelbagai gerak kerja untuk merealisasikan status ini sedang dijalankan.

“Usaha-usaha untuk membantu penduduk tempatan agar mendapat limpahan manfaat, hendaklah dijadikan salah satu agenda pembangunan Pulau Pangkor, demi memastikan penduduk di pulau tersebut, tidak bernasib Lebai Malang, menang sorak – kampung tergadai, tertinggal sebagai penonton yang pasif, berputih mata, melihat dagang lalu ditanak – sedangkan anak diriba mati tak makan,” titah baginda.

Dalam pembentangan belanjawan 2019 lalu, Menteri Kewangan mengumumkan bahawa kerajaan komited untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai dalam usaha merealisasikan potensi sebenar pulau tersebut sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Sultan Nazrin bertitah, usaha-usaha menambah dan mempelbagaikan produk serta usaha-usaha pemasaran dan promosi, akan diperlengkap dengan langkah-langkah untuk menambah baik perkhidmatan dan khidmat sokongan.

Rata-rata rakyat tempatan serta mereka yang terlibat dalam bahagian pelancongan menyambut baik idea menjadikan Pangkor sebagai destinasi bebas cukai, terutamanya jika ia dapat membawa masuk barang berjenama seperti coklat, minyak wangi dan pakaian.

Sumber: Sirap Limau