Selepas isu hangat membelenggu diri Pencetus Ummah(PU) Abu Sufyan mengenai kisah peribadinya tular pada hujung minggu lepas, kini dia selamat tiba di tanah air apabila dirinya dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.

PU Abu kelihatan terkejut didatangi seorang wartawan dari mStar dan enggan memberi kenyataan mengenai tindakannya menceraikan bekas isteri, Ain Afini, semasa mengandung sebelum bertemu bapanya, Mokhtar Rozaidi.

Menurutnya, dia akan menjelaskan kepada orang ramai selepas mendapat keputusan daripada bapanya kerana bapanya meminta dia jangan membuka mulut untuk memberi kenyataan kepada sesiapa pun.

“Saya minta maaf sangat-sangat, saya takkan beri apa-apa kenyataan. Apa pun paksaan atau desakan saya takkan buka mulut. Itu sahaja jawapan saya ketika ini. Selebihnya saya akan maklumkan kemudian,” jelasnya.

“Saya tak boleh cakap banyak-banyak sebab semua kenyataan saya selama ini diputar belit ramai pihak dan media sehingga apa sahaja yang keluar dari mulut saya dianggap salah. Jadi, saya taknak cakap apa-apa setakat ini,” sambungnya.

Selain itu, PU Abu turut menyatakan bahawa cerita sebenar yang berlaku antara dia dan bekas isteri serta seorang usahawan kosmetik bernama Hana Azraa hanya diketahui oleh ketiga-tiga keluarga berkenaan.

“Tiada siapa pun tahu cerita sebenar melainkan keluarga saya dan keluarga di pihak bekas isteri dan Hana,” ujarnya.

Sumber: mStar