Sebelum wujudnya aplikasi komunikasi seperti Whatsapp, Telegram, WeChat dan sebagainya, kita selalu menghantar ucapan raya melalui kad-kad raya yang mempunyai pelbagai reka bentuk menarik.

Namun, ia kian dilupakan kerana ramai menganggap menghantar ucapan menggunakan telefon lebih mudah dan pantas walaupun tidak bermakna seperti kad raya.

Kini, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) tampil dengan inovasi terbaru iaitu dengan memperkenalkan kad ucapan Raya Hologram 3D sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba nanti.

“Generasi Y terutamanya mencari sesuatu yang berbeza daripada penggunaan mesej pesanan ringkas (SMS) atau laman sosial seperti WhatsApp atau Wechat, oleh itu, kita tampilkan kelainan dengan menggabungkan media digital dan kad raya tradisi,” ujar Ketua Pegawai Operasi Mel Pos Malaysia, Helmi Hashim.

Kad Ucapan Raya Hologram 3D ini berharga RM12 dan mempunyai dua reka corak dan video yang berbeza. Selain itu, penerima boleh menonton video hologram 3D dengan memuatnaik aplikasi “Hologram Raya” melalui aplikasi Google Play atau Apps Store serta melekatkan projektor plastik hologram pada skrin telefon pintar mereka.

Untuk pengetahuan anda, kad raya hologram ini boleh didapati di 400 cawangan pejabat pos atau dalam talian di www.eziemall.com.

Sumber: mStar