Kita sudah biasa melihat situasi di mana para pelajar sekolah menengah membawa kenderaan sendiri ke sekolah terutama motosikal.

Baru-baru ini, Ketua Polis Perlis mengeluarkan kenyataan bahawa polis trafik di negeri itu boleh menyaman sesiapa yang melanggar peraturan di dalam kawasan sekolah.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, menjelaskan bahawa anggota polis trafik boleh mengeluarkan saman terhadap individu yang melakukan kesalahan di dalam kawasan sekolah atas permintaan daripada pihak sekolah.

Menurutnya, polis trafik boleh menjalankan tugas mereka di mana-mana sahaja kerana itu merupakan tugas dan dalam bidang kuasa polis setelah mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan sekolah.

“Sebenarnya kami telah dijemput datang ke sekolah dan buat terlebih dahulu program advokasi kepada para pelajar sekolah,” ujarnya.

“Selepas itu, barulah kami akan datang ke sekolah untuk buat operasi melalui Op Didik. Tidak sewenangnya terus buat operasi dan saman,” jelasnya.

Sebelum ini, terdapat isu tular di laman sosial mendakwa anggota polis trafik menjalankan operasi menyaman pelajar di dalam kawasan sekolah hingga menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa ibu bapa yang menganggap ia menyalahi undang-undang.

Difahamkan, sebanyak lima buah sekolah terpilih bagi program itu di negeri tersebut dan hanya selepas program advokasi dijalankan barulah tindakan dan operasi dijalankan di sekolah yang terlibat.

“Lebih 60 saman dikeluarkan dan kebanyakannya adalah kesalahan tidak mempunyai lesen memandu, termasuk saman terhadap pemilik kenderaan,” katanya.

“Saman yang kita keluarkan adalah lebih kepada mendidik ibu bapa tentang pentingnya anak-anak mereka mempunyai lesen memandu terlebih dahulu,” sambungnya lagi.

Sumber: Astro Awani & Bernama