Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, mengumumkan peraturan baru mengenai cermin gelap kenderaan kepada umum iaitu tiada had ditetapkan bagi kadar ketelusan cahaya tampak untuk cermin kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang bagi semua kenderaan persendirian.

Walau bagaimanapun, peraturan baru itu akan menyukarkan tugas penguatkuasaan terutama polis. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, menjelaskan bahawa pihaknya menghormati peraturan baru yang diumumkan Anthony tetapi berpendapat bahawa tugas polis dalam penguatkuasaan akan menjadi sukar.

“Pihak polis sebelum ini tidak pernah dipanggil bagi membincangkan berhubung peraturan baru ini. Saya berasa terkilan, sebaik-baiknya mereka berbincang dan mungkin boleh ambil pandangan daripada kita,” katanya.

Selain itu, faktor keselamatan pasukan keselamatan juga akan terjejas kerana tidak dapat melihat penumpang ketika pemeriksaan dijalankan.

“Sebelum ini, kita boleh nampak penumpang dan pemandu, namun dengan peraturan baru ini tiada had ketelusan cahaya dibenarkan. Agak sukar bagi polis untuk membuat pemeriksaan dan mengesan penumpang di bahagian belakang,” jelasnya.

Di samping itu, peraturan baru juga akan menyukarkan pasukan penguatkuasaan mengesan kesalahan-kesalahan kecil seperti menggunakan telefon pintar ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.

“Memang beberapa peraturan ditetapkan seperti mengenakan fi dan perlu memenuhi syarat lain antaranya tidak mempunyai rekod jenayah dan sebagainya, namun ia seperti lesen kenderaan juga. Ada pengguna jalan raya yang tidak mempunyai lesen dan boleh menggunakan kenderaan itu,” tambahnya.

Sumber: Harian Metro