Baru-baru ini ada lagi cerita tentang seorang wanita dibelasah oleh lelaki lelaki yang menyamunnya di dalam sebuah lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras. Selepas beberapa hari polis membuat siasatan, akhirnya suspek tersebut ditahan.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan di Taman Cheras, Jalan Cheras di Kuala Lumpur oleh sepasukan anggota polis Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan suspek akan ditahan reman pagi esok.

Gambar: FMT

Menurut Harian Metro, polis telah mengenal pasti identiti suspek yang memukul dan menyamun wanita itu dalam kejadian Khamis lalu. Mazlan dipetik sebagai berkata, pihaknya sudah mendapatkan beberapa maklumat lelaki berkenaan sebelum usaha memburunya dijalankan.

Khamis lalu, mangsa berusia 48 tahun itu dikatakan berada dalam lif berkenaan bersama suspek sebelum dibelasah dan disamun lelaki itu. Selepas memukul dan menyamun mangsa itu, suspek melarikan dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM400.

Akibat kejadian itu, mangsa cedera pada dahi dan badan serta dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Sumber: Metro