Baru-baru ini, satu rakaman video tular di media sosial mengenai tindakan seorang lelaki meminta haiwan yang dikurung di dalam sangkar menyebut perkataan ‘baby sayang’ sambil mengacu pistol. Kemudian, lelaki itu melepaskan satu das tembakan di kepala haiwan berkenaan selepas kiraan tiga.

Berikutan itu, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad, menerima satu laporan mengenai rakaman video kejam tersebut dan ‘memburu’ lelaki menembak haiwan malang itu.

Difahamkan, dua beranak ditahan di rumah di Taman Kenangan, Sitiawan, Perak, berkaitan kes tembak monyet berkenaan, semalam.

Menurutnya, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Manjung membuat serbuan di sebuah rumah pukul sembilan malam tadi.

“Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki iaitu anak beranak selain merampas pistol yang dipercayai digunakan dalam kes berkenaan. Kedua-dua tangkapan terbabit dibawa ke IPD Manjung untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro