Anggota polis berpangkat Sub Inspektor meninggal dunia selepas selesai solat Maghrib di Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau, di Sungai Petani, Ahad lalu.

Fadzil Ahmad, 60 tahun, rebah ketika bacaan zikir pada 7.45 malam. Anak allahyarham, Siti Nuraida, 32 tahun, mengatakan bahawa bapanya singgah solat di masjid itu sebelum pulang ke rumahnya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Sik selepas pulang dari kampungnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

“Tengah hari semalam arwah ayah ada ke majlis kenduri perkahwinan di Sungai Petani bersama adik, Muhammad Syafiq, 20 tahun, sebelum mereka pulang ke kampung untuk menemui sanak saudara,” ujarnya.

“Menurut adik, ayah ada mengadu sakit dada dan sesak nafas selepas mereka pulang dari majlis kenduri itu, namun arwah masih dalam keadaan baik,” jelasnya.

Tambahnya, arwah bapanya dikatakan tidak mengalami masalah ketika mengerjakan solat Maghrib sehinggalah arwah kembali mengadu sakit dada ketika bacaan zikir selepas solat dibacakan.

“Ayah beritahu adik yang dia sakit dada balik sambil memegang dadanya ketika imam membacakan zikir dan arwah tiba-tiba rebah tidak lama kemudian,” katanya.

Difahamkan, jenazah allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Sumber: Harian Metro