Perbuatan seorang lelaki merosakkan barang makanan di kedai serbaneka FamilyMart di sebuah pasaraya di Nilai, Negeri Sembilan, membawa padah apabila video kejadian itu tular dan kini diburu polis.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku selepas lelaki terbabit bersama rakan masuk ke kedai itu dan merosakkan beberapa plastik makanan dan minuman, kira-kira pukul 10 malam semalam.

Malah, mereka turut merakam video perbuatan terbabit di IG Story remaja berkenaan sebelum tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, menyatakan bahawa polis menerima laporan kejadian daripada pengurus premis pada pukul 11.20 malam.

“Pengadu melihat video tular di media sosial yang didakwa berlaku di premisnya lalu membuat semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” ujarnya.

“Pengadu mendapati lelaki terbabit merosakkan barang makanan dan minuman dengan sengaja menyebabkan beliau mengalami kerugian RM30,” jelasnya.

Bertindak atas laporan itu, polis kini sedang giat mengesan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Difahamkan, pihak polis sudah menahan reman tiga suspek berkaitan kes ini yang dikatakan menyerah diri kepada polis pada petang tadi.

Sementara itu, lelaki menggunakan nama ‘luqbubbles’ di Instagram mengaku sebagai individu yang melakukan perbuatan itu dan membuat permohonan maaf serta mendakwa akan membayar balik kerosakan yang dilakukan.

Sumber: Harian Metro