Sebuah video tular di laman sosial mengenai kejadian seorang lelaki tidak dikenali melakukan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah kedai serbaneka dekat Bandar Country Homes, Rawang, hujung minggu lalu.

Berikutan itu, seorang lelaki warga Indonesia ditahan kerana dipercayai melakukan serangan seksual tersebut.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, menjelaskan bahawa lelaki berusia 45 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan bekerja sebagai buruh binaan di kawasan berhampiran.

“Polis turut merampas pakaian yang digunakan semasa kejadian dan siasatan awal mendapati suspek terlibat secara positif dalam kes berkenaan,” katanya.

Difahamkan, kes itu disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Malah, suspek juga akan dibawa ke Mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman.

Ketika kejadian, mangsa sedang leka melihat barang di rak jualan sebelum suspek mendekatinya dari arah belakang lalu memeluk kanak-kanak itu.

Lelaki tidak dikenali itu kemudian kembali lagi ke rak jualan terbabit dan mengulangi perbuatannya sebelum kedua-dua kanak-kanak itu melarikan diri.

Sumber: Astro Awani