Mulai 12.01 tengah malam ini sehingga 25 September depan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) Secara Pentadbiran akan dilaksanakan di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah, yang membabitkan seramai 366,787 penduduk.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan semua individu termasuk yang ingin keluar masuk untuk bekerja juga tidak dibenarkan di kawasan PKPD berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu diambil dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) semalam, selepas mengambil kira peningkatan kes Kluster Sungai dan Tawar di daerah itu.

“Pelaksanaan itu juga, selaras cadangan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor supaya PKPD Secara Pentadbiran dilaksanakan di kawasan jangkitan Covid19 kepada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Covid19,” ujarnya.

“Keluar masuk daerah adalah dilarang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan kawalan dan sekatan jalan raya,” jelasnya.

“Feri jeti Kuala Kedah juga tidak dibenar beroperasi dan orang ramai boleh mencari alternatif lain seperti melalui jeti di Kuala Perlis,” tambahnya.

“Selain itu, kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Bukit Kayu Hitam, Kedah dihentikan sehingga tamat PKPD pentadbiran Kota Setar ini,” sambungnya lagi.

Difahamkan, majikan perlu mengambil maklum arahan ini memandangkan pekerja tidak dibenarkan keluar masuk untuk bekerja.

“Kerajaan berharap pekerja tidak akan diambil tindakan kerana tidak datang bekerja. (Mereka) Boleh bekerja dari rumah,” katanya.

Selain itu, semua aktiviti sukan, sosial, budaya adalah dilarang. Malah, institusi berkaitan pendidikan termasuk Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska), sekolah rendah dan menengah, universiti akan ditutup manakala sesi pengajian di institut latihan kemahiran turut ditangguhkan.

“Hanya premis menyediakan perkhidmatan perlu sahaja seperti kedai makan, runcit, hospital, klinik dan stesen minyak yang dibenarkan beroperasi,” ujarnya.

“Tempoh operasi untuk restoran adalah 8 pagi hingga 8 malam dan hanya take away (bungkus bawa balik) dibenarkan. Operasi hospital dan klinik dibenarkan 24 jam manakala farmasi sehingga 8 malam. Operasi pasar malam dan pasar tani tidak dibenarkan,” jelasnya.

Hanya ketua keluarga dan seorang individu dari sebuah rumah sahaja dibenarkan keluar membuat pembelian.

Kenderaan membawa produk keperluan seperti lori bawa ikan, sayur dan beras dibenarkan keluar masuk, namun lori lain tidak dibenarkan.

“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar zon tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu,” tambahnya sambil menyatakan masjid dan rumah ibadat lain diarahkan tutup sepanjang tempoh PKPD Secara Pentadbiran berlangsung.

Sumber: Harian Metro