Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji(TH), Datuk Seri Zukri Samat, menjelaskan bahawa Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah menghantar surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi mengenai permohonan kuota tambahan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini.

Menurutnya, Lembaga TH masih belum menerima sebarang jawapan rasmi berkenaan keputusan daripada kerajaan Arab Saudi berkenaan hal itu.

“Kita telah menggunakan saluran tertentu untuk membolehkan kita tetap mendapat kuota tambahan berkenaan. Kita amat berharap kalau tak dapat 10,000 kuota sekurang-kurangnya 8,000 masih berpeluang,” ujarnya.

“Jadi, kita harap jawapannya adalah secepat mungkin kerana musim haji sudah tidak lama lagi,” sambungnya.

Untuk pengetahuan anda, kuota rasmi yang diberikan oleh Arab Saudi kepada Malaysia untuk tahun ini adalah sebanyak 30,200 orang.

Gambar sekadar hiasan

Selain itu, Zukri berkata sukar untuk menjangkakan hal itu memandang banyak faktor yang perlu diambil kira oleh Kerajaan Arab Saudi sebelum memutuskan perkara berkenaan.

Walau bagaimanapun, TH amat berharap agar kuota tambahan itu dapat diberikan bagi mengurangkan tempoh menunggu bakal haji yang kini dianggarkan selama 120 tahun.

Difahamkan, penerbangan pertama bagi jemaah haji Malaysia tahun ini akan berlepas pada 4 Julai depan manakala penerbangan terakhir adalah pada 4 Ogos dan jangkaan hari wukuf adalah pada 10 Ogos 2019.

Sumber: Astro Awani & Bernama