Mulai hari ini sehingga 2 Januari depan, pihak PLUS Malaysia Berhad(PLUS) menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol masuk di bawah seliaannya bagi melancarkan pergerakan trafik sempena cuti perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu.

Menurut kenyataan PLUS, mereka menjelaskan bahawa penutupan dilaksanakan pada setiap musim perayaan itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan disebabkan pelanggan beratur di lorong tambah nilai plaza tol.

Difahamkan, PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik sebanyak 18 peratus kepada dua juta kenderaan berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari biasa.

“Oleh itu, perjalanan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya masih terdapat pelanggan terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi,” ujarnya.

“Apabila ini berlaku, ia sudah pasti mengganggu keselesaan dan perjalanan pelanggan lain,” jelasnya.

Untuk pengetahuan anda, PLUS tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol.

Berikutan itu, PLUS menasihatkan anda merancang perjalanan dan menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal di 11,000 pusat menambah nilai kad Touch ‘n Go di seluruh negara, yang merangkumi mesin ATM, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak dan kedai serbaneka.

Selain itu, pelanggan lebuh raya PLUS masih belum boleh menggunakan perkhidmatan e-Wallet PayDirect pada ketika ini.

Sumber: Harian Metro