Mulai 15 Jun ini, aktiviti pendakian, perkhemahan dan jungle trekking dalam hutan dibenarkan hanya untuk balik hari sahaja dan dalam kumpulan tidak lebih 20 orang.

Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop, menyatakan pihaknya perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan virus Covid19 masih ada.

Menurutnya, mereka yang memasuki hutan berisiko membawa virus itu bersamanya dan membahayakan pasukan penyelamat jika jatuh sakit atau menunjukkan gejala seperti demam ketika dalam hutan.

“Mereka (penyelamat) terpaksa buat persiapan rapi termasuk menyediakan set lengkap pakaian pelindung diri (PPE) semata-mata mahu menyelamatkan orang dalam hutan yang kita tidak tahu apa simptom sebenar pesakit itu,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

Walau bagaimanapun, pengunjung masih mempunyai pilihan lain untuk melakukan aktiviti tersebut tanpa perlu bermalam iaitu mendaki jarak denai tidak jauh seperti Gunung Irau dan Mossy Forest, Cameron Highlands serta Gunung Ledang, Johor.

Selain itu, aktiviti air seperti mandi di kolam awam, kolam takungan dan kolam air terjun turut tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) bermula hari ini.

Malah, aktiviti sukan lasak seperti motorcrossATV,mountain bikerock climbing, paragliding serta aktiviti tali seperti abseiling dan wall climbing juga dilarang.

“Penganjuran kem motivasi dan summer camp di mana penganjurnya adalah persatuan rekreasi atau syarikat motivasi yang menggunakan kemudahan dalam hutan simpanan kekal juga adalah dilarang sama sekali,” jelasnya.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa negeri boleh menimbangkan pertambahan senarai aktiviti yang dibenarkan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian,” sambungnya lagi.

Sumber: Bernama & Harian Metro