Mulai 2 November depan, Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) memutuskan untuk memberi kelonggaran mengenai pelaksanaan upacara akad nikah semasa dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) di Selangor yang dilanjutkan sehingga 9 November.

Gambar sekadar hiasan

Difahamkan, upacara akad nikah boleh dilakukan di Pejabat Agama Islam Daerah(PAID) di seluruh Selangor dengan kehadiran dan jumlah temujanji terhad pada satu-satu masa.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad, menyatakan bahawa kebenaran melaksanakan akad nikah tersebut tertakluk dengan beberapa syarat iaitu pemohon lelaki dan perempuan sudah mendapat Kebenaran Berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 dari PAID.

“Hanya tiga orang dibenarkan hadir upacara akad nikah iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Hanya lima akad nikah dibenarkan dalam masa satu hari iaitu pada hari Isnin hingga Jumaat (hari bekerja) bermula sembilan pagi hingga empat petang,” jelasnya.

“Kebenaran ini diberi kepada pasangan dalam Selangor atau pihak lelaki atau pihak perempuan dari luar Selangor dengan tanggungjawab pihak-pihak mendapatkan kebenaran pergerakan rentas daerah atau negeri jika diperlukan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, cadangan upacara akad nikah yang mendapat kebenaran dari Ketua Pendaftar Nikah, Cerai Dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor sahaja akan diterima untuk dilaksanakan di PAID.

“Temujanji upacara bagi akad nikah bolehlah dibuat dengan menghubungi PAID berkaitan untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro